Saturday, June 11, 2011

Hubungan intim Farid kamil, Diana kembali bertaut

KUALA LUMPUR: Memang sah hubungan Farid Kamil, 30, dengan Diana Danielle, 19, sudah kembali bertaut sekali pun mereka memilih untuk tidak menggembar-gemburkannya. 

Ikatan itu dikatakan terjalin semula sekembali aktres jelita itu daripada mengikuti kursus jangka pendek bidang lakonan di Akademi Filem New York cawangan Los Angeles di Universal Studios, pada 6 Mei lalu.

Sebelum ini, hubungan mereka pernah dikatakan terjalin selama dua tahun sebelum berpisah ‘sementara’ secara baik.


Diana sendiri dalam akaun Twitter miliknya pernah menulis satu kenyataan berbunyi ‘saya gembira untuk mengatakan kami sudah kembali bersama. Harap semua dapat mendoakan kebahagiaan kami’ sebelum hal sama diakui Farid Kamil, semalam. 

“Terima kasih kepada peminat dan penyokong kerana menyokong kebahagiaan hidup saya,” katanya ringkas ketika hadir di Balai Berita mempromosikan filem 321 Cinta yang bakal menemui peminat wayang mulai 16 Jun ini. 

Ditanya sama ada sudah ada perancangan bertunang atau berkahwin dalam masa terdekat, Farid menjelaskan, tiada perancangan ke arah itu dan semuanya masih terlalu awal untuk diperkatakan, lagi pun komitmen seni mengatasi segala-galanya. 

Diana dalam kenyataannya sebelum ini tidak menidakkan aktor yang turut bergelar pengarah itu masih di hatinya dan ketika dihubungi Berita Harian, duta Nanowhite dan Public Gold serta kini mempromosikan Sunsilk dan Kotex itu berkongsi luahan hati. 
“Dalam kehidupan ini kita tidak boleh merancang dan mengetahui apa yang bakal terjadi pada masa mendatang. Apa yang boleh dikatakan, hati saya terbuka dan mengharapkan yang terbaik kali ini. Dia (Farid) kawan paling baik dan rapat dengan saya, susah senang bersama. Doakan yang terbaik untuk saya,” katanya.