SHAH ALAM: Tanpa dijangka kumpulan Sepah dianggotai Mohd Noor Murad, Shahmira Muhammad dan Mohd Nazdri Zainal Abidin, muncul juara pertandingan akhir Maharaja Lawak berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam di sini, malam tadi.
Lebih manis apabila kemenangan itu diumumkan di hadapan hampir 5,000 penonton setia rancangan itu, termasuk ahli keluarga dan kelab peminat pelawak popular itu yang membanjiri Stadium Malawati, Shah Alam.
Peringkat awal sewaktu pengumuman undian SMS penonton setia, mewakili 50 peratus permarkahan menunjukkan Jozan mempunyai kelebihan apabila mendahului dengan 34 peratus sementara kumpulan Sepah berada di tangga kedua dengan 28 peratus diikuti Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil (25 peratus) dan Jambu hanya memperoleh 13 peratus.
Dia menyifatkan kemenangan kumpulan Sepah adalah rezeki anak yang bakal ditimang tidak lama lagi ini kerana isterinya juga penyanyi Siti Sarah sedang mengandung anak sulung.
Kemenangan diputuskan juri tetap rancangan itu iaitu pengarah filem, Mamat Khalid, Ahmad Idham dan pelawak, Saiful Apek mewakili 50 peratus markah dan selebihnya SMS daripada penonton setia membolehkan Sepah membawa pulang wang tunai RM350,000 beserta piala iringan, Jozan naib juara dan menerima hadiah wang tunai RM 250,000, sementara tempat ketiga dimenangi Nabil menerima wang tunai RM150,000.
REZEKI ANAK SHUIB
KUALA LUMPUR: “Macam-macam kami ingin buat dengan wang kemenangan ini. Selepas wang itu dibahagikan, kami akan memenuhi niat masing-masing,” kata ahli kumpulan Sepah selepas diumumkan sebagai Maharaja Lawak musim pertama, kelmarin.
Sepah yang dianggotai Mohd Noor Murad, Shahmira Muhammad dan Mohd Nadri Zainal Abidin membawa pulang hadiah wang tunai RM350,000 berserta trofi.Bagi Shahmira atau Shuib, kemenangan kumpulan Sepah adalah ketentuan illahi.Malah, Shuib menjelaskan semua itu ada rezeki anak yang dikandung isterinya, Siti Sarah.“Alhamdulillah, semua ini pemberian tuhan. Terus terang, saya tidak menjangkakan kemenangan ini. Begitupun, saya cukup bersyukur.“Mungkin, ini rezeki anak kami. Sebab itu, duit kemenangan ini akan saya gunakan untuk membeli rumah yang lebih selesa dan memulakan perniagaan.
“Bagaimanapun, buat masa ini saya dan isteri masih belum sempat berbincang perniagaan apakah yang akan kami lakukan. Insya-Allah, bila sudah ditetapkan saya akan memberitahu peminat,” katanya.Niat itu turut dikongsi oleh Mamat atau Mohd Noor Murad. Walaupun belum berkahwin, Mamat bercita-cita mahu memiliki sebuah rumah di Kuala Lumpur.



